Dari segi bahasa, perkataan Iman (إيمان)
diambil daripada kata kerja 'Āamana' (ءامن) yang bermaksud "percaya" atau
‘Yukminu’ (يوءمن)
yang bererti "percaya" atau "membenarkan". Ia juga membawa
pengertian yang sama seperti I'tiqad (اعتقاد), tapi pada
pengertian berbeza.
Manakala dari segi pengertian secara harafiah dalam Islam, Iman (الإيمان)
bererti "percaya kepada Allah". Dengan itu orang yang beriman adalah ditakrifkan
sebagai orang yang percaya (mukmin). Perkataan Iman yang bererti "membenarkan"
itu disebutkan dalam al-Quran, di antaranya dalam Surah
At-Taubah ayat 61 yang bermaksud:
“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang
yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad)
orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)".
Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia
beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi
rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang
menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”[al-Quran 9:61 (Basmeih)]
Dalam Islam, hanya sekadar mempercayai (yukminu)
adalah masih belum memadai sebagai beriman jika masih tidak beramal dan
berpegang dengan I'tiqad. Seperti yang tertulis dalam Surah
Al-Hujurat ayat 14 yang bermaksud:
“Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah
beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman,
(janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke
dalam hati kamu berkatalah sahaja: 'kami telah Islam '. Dan (ingatlah), jika
kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan
mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".”[al-Quran 49:14 (Basmeih)]
Takrif Iman menurut istilah syariat Islam ialah seperti
diucapkan oleh Ali bin Abi Talib r.a. yang bermaksud: "Iman
itu ucapan dengan lidah dan kepercayaan yang benar dengan hati dan perbuatan
dengan anggota."
Aisyah r.a. pula berkata: "Iman kepada Allah
itu mengakui dengan lisan dan membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan
anggota."
Imam al-Ghazali menghuraikan makna Iman adalah: "Pengakuan
dengan lidah (lisan) membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya
dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."
Iman pada maknawi sebenar ialah membenarkan
dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan.
Ringkasnya orang yang beriman ialah orang yang percaya, mengaku dan beramal.
Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan beriman yang sempurna.
Ketiadaan satu sahaja dari yang tiga itu, sudah lainlah nama yang Islam berikan
pada seseorang itu, iaitu fasik, munafik atau kafir.